1. Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyambut gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said supaya semua parti politik menyatakan pendirian rasmi berhubung cadangan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik.
2. Pendirian MUDA jelas. MUDA menyokong penggubalan undang-undang pendanaan politik yang telus, menyeluruh dan mempunyai mekanisme penguatkuasaan yang bebas.
3. Politik yang bersih tidak boleh hanya bergantung kepada janji bahawa sesebuah parti atau pemimpin itu bersih. Sistem itu sendiri perlu memastikan sumber dana politik boleh dipertanggungjawabkan dan tidak menjadi pintu belakang kepada rasuah, konflik kepentingan atau pembelian pengaruh.
4. Sebab itu persoalan hari ini bukan lagi sama ada Malaysia memerlukan undang-undang pendanaan politik. Persoalannya ialah sejauh mana kerajaan berani menggubal undang-undang yang benar-benar mempunyai taring.
5. MUDA berpandangan bahawa RUU ini sekurang-kurangnya perlu merangkumi kewajipan pengisytiharan sumber sumbangan politik mengikut ambang yang munasabah, akaun parti yang diaudit, peraturan jelas terhadap sumbangan asing, kaedah transaksi yang boleh dijejaki serta hukuman yang setimpal terhadap pelanggaran undang-undang.
6. Peraturan ini juga tidak boleh terhad kepada sumbangan yang dibuat secara terus kepada parti politik. Ia perlu mengambil kira sumbangan kepada calon serta mekanisme untuk menghalang dana politik daripada disembunyikan melalui proksi, pihak ketiga atau entiti berkaitan.
7. Paling penting, badan yang mengawal selia pendanaan politik mestilah mempunyai kebebasan dan kredibiliti. Undang-undang yang bertujuan membersihkan politik tidak boleh akhirnya memberikan kerajaan yang memerintah kuasa untuk menentukan siapa yang boleh menerima dana dan siapa yang boleh dihukum atas pertimbangan politik.
8. MUDA juga berpandangan bahawa proses mendapatkan pandangan parti-parti politik tidak boleh dijadikan alasan untuk terus menangguhkan reformasi ini.
9. Kerajaan memaklumkan bahawa 18 sesi libat urus melibatkan 1,544 peserta telah dilaksanakan dan sembilan bidang dasar sedang diperhalusi. Maka selepas bertahun-tahun isu pendanaan politik dibincangkan, sudah tiba masanya proses konsultasi diterjemahkan kepada undang-undang.
10. Sekiranya terdapat parti politik yang menolak RUU ini, biarlah pendirian dan alasan mereka diketahui rakyat. Konsensus tidak boleh bermaksud setiap parti diberikan kuasa veto untuk melambatkan reformasi.
11. Dalam masa yang sama, sokongan MUDA terhadap RUU Pendanaan Politik bukanlah cek kosong kepada kerajaan. MUDA akan menilai kandungan sebenar RUU apabila ia dibentangkan dan memastikan prinsip ketelusan, kebebasan pengawasan dan akauntabiliti tidak dikompromikan.
12. Jika semua pihak benar-benar serius mahu memerangi rasuah, kita perlu berani melihat bukan sahaja bagaimana wang awam dibelanjakan, tetapi juga bagaimana wang masuk ke dalam politik dan apa yang berlaku sebagai balasan selepas itu.
13. Justeru, MUDA bersedia mengemukakan pendirian rasmi dan cadangan kami dalam proses libat urus yang dijalankan kerajaan.
14. Tetapi kerajaan juga perlu memberikan satu komitmen yang jelas: bentangkan RUU Pendanaan Politik secepat mungkin dan pastikan ia sempat dikuatkuasakan sebelum PRU16.
15. Jangan tunggu sehingga selepas pilihan raya untuk membersihkan cara pilihan raya dan politik kita dibiayai.
MUDA
8 SEPTEMBER 2026