"40% Sudah Muktamad": Kenyataan vs Tindakan Kerajaan

Faezrah Rizalman

Naib Presiden, MUDA

19 March 2026

"40% itu sudah muktamad. Tutup kes."

Itulah yang diucapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan kerja beliau ke Sabah baru-baru ini.

Bagaimanapun, kenyataan ini jelas bertentangan dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang pada 27 Februari 2026 telah memfailkan permohonan stay of execution bagi menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung 40 peratus hasil
Sabah seperti yang diputuskan pada Oktober 2025.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya tahun lalu telah mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk menyemak kadar pemberian khas dalam tempoh 90 hari dan seterusnya mencapai persetujuan mekanisme pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan, yang akan berakhir pada 14 April 2026.

Malangnya, sehingga hari ini, dengan berbaki kurang daripada satu bulan, masih tiada perkembangan jelas daripada rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah. Sebaliknya, yang berlaku ialah tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi.

Persoalannya, jika perkara ini benar-benar telah dimuktamadkan atau sudah "tutup kes" seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, mengapa Jabatan Peguam Negara masih memfailkan permohonan penangguhan? Jika persetujuan telah dicapai, mengapa rakyat Sabah tidak dimaklumkan mengenai jumlah bayaran dan mekanisme pelaksanaannya? Kenyataan Perdana Menteri ini tidak selari dengan tindakan kerajaan, seolah-olah cuba mengaburi rakyat Sabah, sedangkan realitinya berbeza.

Adakah tempoh 180 hari masih tidak mencukupi untuk mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu yang telah berlarutan selama berpuluh tahun ini? Jika Kerajaan MADANI benar-benar komited untuk menyelesaikan perkara ini secara tuntas, tidak sepatutnya timbul permohonan rayuan atas “alasan penghakiman” mahupun permohonan stay of execution. Tindakan ini memberi gambaran bahawa kerajaan sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan, sekali gus menghina rakyat Sabah dan terus menafikan hak mereka.

Atas sebab itu, saya mengalu-alukan pendirian Peguam Besar Sabah, Brendan Soh, yang dilaporkan akan memfailkan bantahan terhadap permohonan stay of execution bagi mempertahankan hak negeri Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021. Ini merupakan langkah yang wajar dan perlu disokong demi mempertahankan keadilan serta maruah rakyat Sabah.

Pada masa yang sama, saya ingin menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, agar menjalankan tanggungjawab beliau dengan lebih proaktif. Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Sabah dan Sarawak, dan sebagai anak Sabah sendiri, beliau tidak seharusnya sekadar mempertahankan kenyataan bahawa permohonan stay of execution tidak menjejaskan tuntutan 40 peratus tanpa memastikan tindakan konkrit diambil untuk menghalang penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah. Lebih membimbangkan, beliau sendiri mengakui tidak dimaklumkan mengenai tindakan Jabatan Peguam Negara pada peringkat awal. Jika beliau tidak mampu menggalas tanggungjawab ini dengan berkesan, beliau wajar mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan.

MUDA berpendirian bahawa hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih wilayah ini adalah muktamad dan tidak boleh dipertikai. Sebarang penangguhan atau percubaan untuk melemahkan pelaksanaan perintah mahkamah adalah bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, federalisme, dan keadilan sosial.

Faezrah Rizalman
Naib Presiden, MUDA
Kenyataan Media Rasmi

Dokumen rasmi dalam format PDF

Muat Turun Kenyataan