Cukai Jalan, EV Dan Akta Anti Pencatutan - Kerajaan Perlu Pelan Lebih Komprehensif Dari Sekadar Potong Kuota

MUDA

Jawatankuasa Eksekutif Pusat

28 March 2026

MUDA mengambil maklum berkaitan perutusan khas YAB Perdana Menteri berkaitan isu perang di Timur Tengah dan kos sara hidup. Kami faham bahawa ada ketika kerajaan perlu melaksanakan tindakan sukar dan tidak popular, walaupun MUDA tidak berada dalam
kerajaan MADANI, kami tidaklah bercadang untuk menjadi pembangkang yang membangkang semata-mata.

Walaubagaimanapun, kami berpandangan bahawa perutusan dan pengumuman kerajaan setakat ini tidak cukup menyeluruh dan meyakinkan. Kita bakal menghadapi cabaran ekonomi yang amat sukar, maka haruslah kerajaan mengambil inisiatif dari pelbagai sudut
dan bukan sekadar memotong kuota subsidi semata-mata. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti MUDA pada 27 Mac 2026, hasil dari kelompongan cadangan konstruktif dan menyeluruh dari kabinet, kami mencadangkan lima perkara ini:

PERTAMA – INFRASTRUKTUR PENGECASAN DAN CUKAI EV
Setakat ini jaringan pengecasan masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan (33% setakat 2025), apakah langkah kerajaan untuk meningkatkan segera infrastruktur pengecasan EV bagi mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan diesel. Kerajaan mungkin boleh menimbang untuk memperkenalkan pelepasan duti import jangka masa pendek untuk kenderaan elektrik CBU.

KEDUA – DISKAUN CUKAI JALAN
Memandangkan semua kenderaan tanpa mengira cc mendapat jumlah kuota yang sama, kerajaan wajar mengambilkira kos cukai jalan untuk kenderaan yang melebihi 2000cc terutama untuk kenderaan komersil bagi membantu rakyat dan peniaga menangani kenaikan kos operasi.

KETIGA – AKTA KAWALAN HARGA DAN ANTI PENCATUTAN
KPDNHEP harus membentangkan pelan perancangan menyeluruh bagaimana penguatkuasa boleh menggunakan akta kawalan harga dan anti pencatutan bagi memastikan kestabilan kos harga makanan dan keperluan harian, adakah perlu dikemaskini mekanisma pencatutan? Adakah kerajaan melihat akan penggunaan skim kawalan harga untuk jangka masa pendek?

KEEMPAT – KETERJAMINAN MAKANAN
Konflik ini turut memberi kesan kepada pengeluaran baja khususnya dengan penutupan Selat Hormuz, ini akan memberi kesan kepada petani dan harga makanan. Ini tidak termasuk kekangan eksport hasil pertanian negara-negara tertentu. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan wajar, dengan kadar segera, mengumumkan pelan menyeluruh untuk memastikan bekalan bukan sahaja mencukupi tetapi pasaran untuk bahan makanan terus stabil.

KELIMA – SAHUT CADANGAN PENGERUSI PERIKATAN NASIONAL
Isu ini adalah isu kenegaraan tanpa mengira parti atau fahaman politik, kami menyokong penuh seruan Pengerusi PN Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk ditubuhkan satu jawatankuasa bi-partisan untuk sama-sama melihat dan berbahas berkaitan
langkah-langkah untuk menangani isu ini. Setakat ini tidak dilihat kelibat menteri-menteri kabinet yang lain membentangkan sebarang tindakan kementerian mereka. Pengumuman itu perlu, tapi jangan hanya untuk potong kuota. Biarlah pengumuman itu diikuti dengan pelan menyeluruh dan komprehensif kerana isu ini memberi kesan kepada setiap rakyat Malaysia.

MUDA akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif dan konstruktif demi kebaikan Malaysia.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat
Kenyataan Media Rasmi

Dokumen rasmi dalam format PDF

Muat Turun Kenyataan